Jenayah indeks di Miri turun 54 peratus sejak Jan - April
Seramai 29 anggota perbagai pangkat menerima sijil penghargaan dari Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu hari ini semasa acara perhimpunan bulanan IPD Miri. |
MIRI -- Kadar jenayah indeks di sini mencatatkan penurunan sebanyak 54 peratus atau 125 kes bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini (Januari -April), berbanding 269 pada tahun sebelumnya, ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu.
Dalam tempoh tersebut, katanya, statistik jenayah kekerasan turun sebanyak 40 kes daripada 66 pada tahun 2021 kepada 26 kes tahun ini.
Manakala jenayah harta benda turun kepada 56 peratus tahun ini bagi tempoh empat bulan pertama berbanding 203 kes tahun sebelumnya.
Tambahnya, indeks jenayah komersial mencatatkan kenaikan kes tipu dengan nilai kerugian sebanyak RM2,535,870 tahun ini berbanding RM2,181,954 pada tahun sebelumnya.
"Perbandingan peningkatan nilai kerugian adalah sebanyak RM353,915," jelasnya ketika menghadiri perhimpunan bulan Ibu Pejabat Polis Daerah Miri pagi tadi.
Bagi statistik kes kemalangan Alexson berkata, ia merekodkan kenaikan sebanyak 23.4 peratus atau 732 kes pada tahun ini ,berbanding 593 kes pada tahun 2021.
"Punca kenaikan kes kemalangan berlaku susulan jumlah penambahan kenderaan yang berada di atas jalan raya yang ketara tahun ini berbanding tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas," katanya.