Jadi 'kaki raba susu' selepas bercerai, lelaki dipenjara 4 tahun

Tertuduh dibawa untuk menjalani hukuman selepas didapati bersalah melakukan amang seksual.

KUCHING—Seorang lelaki yang pernah tular dengan gelaran 'kaki raba susu wanita' akhirnya menerima hukuman atas perbuatannya itu apabila Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atasnya.

Hakim Maris Agan menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh yang juga bekerja sebagai pemandu bas sekolah selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun dengan cara menyentuh payudara mangsa.

Memetik laporan Utusan Borneo Online, Maris juga memerintahkan tertuduh yang berusia 47 tahun menjalani hukuman penjara itu untuk berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa untuk tujuan seksual dengan cara menyentuh payudara mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu kejadian di hadapan sebuah rumah di Jalan Matang, Depo Link, di sini pada 14 April lalu, sekitar jam 1.18 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut keterangan kes, kejadian berlaku semasa mangsa baru balik dari sekolah dan sedang berjalan kaki menuju ke rumahnya di Jalan Matang, Depo link.

Tertuduh yang menunggang motosikal tiba-tiba datang ke arah mangsa dan berhenti seperti hendak mencari alamat rumah dan semasa tertuduh bertanyakan soalan kepada mangsa, dia tiba-tiba memegang payudara sebelah kanan mangsa sebelum melarikan diri.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh dalam rayuannya meminta agar tidak dikenakan hukuman berat dengan alasan dia menyara kedua-dua ibu bapanya, selain turut menanggung anak berusia 17 tahun.

Selain itu, tertuduh juga memberitahu mahkamah dia tidak memperoleh pampasan gratuiti mahupun pencen bulanan untuk menyara keluarganya sebagai penjawat awam.
Pada masa sama tertuduh mendedahkan dia melakukan kesalahan itu selepas bercerai dengan isterinya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Next Post Previous Post