Isytihar produk ikan, rupa-rupanya babi

MAQIS Pulau Pinang merampas 20,736 tin produk daging babi dilabel sebagai produk ikan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang. Gambar MAQIS

GEORGE TOWN—Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menggagalkan taktik sebuah syarikat pengimport yang cuba menyeludup masuk produk daging babi dengan mengisytiharkannya sebagai produk ikan, dalam pemeriksaan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarahnya Dr Azhari Sharidan Abu Bakar berkata taktik itu dikesan ketika pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari China di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), dekat sini pada Februari lepas dan mendapati 20,736 tin produk daging babi dilabel sebagai produk ikan.

"Pemeriksaan lanjut di makmal ke atas produk seberat kira-kira tujuh tan itu disahkan oleh Jabatan Kimia merupakan produk berasaskan daging babi, ini rampasan terbesar bagi produk hiliran berasaskan babi pada tahun ini.

"Semua produk bernilai RM326,592 itu telah disita kerana diimport menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan. MAQIS turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM16,000 kepada syarikat pengimport berpangkalan di Pulau Pinang itu mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata semua produk daging babi yang disita itu akan dilucut hak dan dilupuskan sama ada menerusi kaedah tanam atau menggunakan insinerator.

Menurut Azhari Sharidan larangan pengimportan dan membawa masuk produk babi di setiap pintu masuk negara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus Deman Afrika Selatan (ASF) yang boleh menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi tempatan.

"Aktiviti import produk babi dari China dilarang keras kerana negara itu terjejas teruk dengan penularan virus ASF dan dikhuatiri menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi di negara ini," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post