Isu keperluan bina terminal bas di Kapit antara dibangkitkan, Lee

Lee bersama yang lain melawat tapak cadangan bagi pembinaan Terminal Bas Kapit. Gambar Lee Kim Shin

KAPIT-- Isu keperluan membina terminal bas di sini antara yang dibangkitkan pada mesyuarat jawatankuasa pengangkutan bahagian semalam, kata Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin.

Memetik laporan The Borneo Post, beliau yang hadir pada mesyuarat itu yang merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasminya di Kapit berkata, isu tersebut antara yang diketengahkan dan satu keperluan segera.

Dalam taklimat yang diberi oleh Residen Kapit Nyurak Keti memaklumkan beberapa isu berkaitan pengangkutan di bahagian itu perlu diberi perhatian dan mencari jalan penyelesaian.

"Salah satu isu yang dibangkitkan adalah keperluan untuk membina sebuah terminal bas di Kapit, berikutan adanya laluan jalan raya yang menghubungkan Kapit ke Sibu.

"Selain itu, terdapat perkhidmatan bas setiap hari di laluan Kapit-Song-Kanowit-Sibu, jadi ini memerlukan sebuah terminal bas di Kapit dan juga stesen bas di Song," kata Lee selepas mesyuarat itu.

Tambahnya, tapak cadangan untuk terminal bas itu berhadapan dengan Skim Penempatan Semula Bletih di Jalan Bletih.

"Terminal bas ini akan dibina di luar Kapit bagi mengelak kesesakan kerana jalan raya sedia ada di sini adalah satu laluan," jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, kementeriannya juga akan mempromosikan pengangkutan sungai yang dilihat masih relevan bagi penduduk yang tinggal di sepanjang Batang Rajang dan sekitarnya.

Lee juga dimaklumkan bahawa mereka sedang meneroka potensi menjadikan pengangkutan sungai sebagai persiaran sungai di Kapit dengan menggunakan bot ekspress

Hadir sama pada mesyuarat itu Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak Jefferson Jamit dan Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Dr Murni Suhaili.
Next Post Previous Post