Insiden pertelingkahan di jalan raya yang tular, suspek berjaya ditangkap

Gambar hiasan

KUCHING—Polis berjaya memberkas suspek yang terlibat dalam insiden pertelingkahan di jalan raya yang dipercayai berlaku di hadapan Wisma Saberkas, Jalan Tun Abang Haji Openg yang menjadi tular di Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek lelaki warga tempatan berumur 42 tahun telah ditangkap oleh 'Team Snap Strike' dan 'Harassment @ Team SSH' Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada jam 1.59 petang tadi.

Tambahnya, sebelum ini polis mengesahkan ada menerima laporan berkenaan satu hantaran di laman Facebook yang memaparkan pertelingkahan di antara dua pihak semasa berada di jalan raya yang sesak.

Mengulas lanjut insiden itu, beliau berkata pertelingkahan tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 3.42 petang pada 28 April lalu.

"Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Tun Abang Haji Openg berhadapan Wisma Saberkas.

"Dalam insiden tersebut memaparkan suspek seorang lelaki tempatan bertindak agresif dengan keluar daripada kenderaannya dan mengetuk cermin kereta mangsa dengan kasar serta mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dalam video yang sama juga menunjukkan suspek tersebut menghimpit dan cuba menghalang kenderaan mangsa dalam keadaan yang berbahaya.

Tegas beliau, susulan video berkenaan, satu laporan polis telah dibuat yang mana kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah.

"Jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memandu secara gopoh di jalan raya awam.

Justeru, beliau menggesa orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan akan diheret ke mahkamah untuk pendakwaan berlandaskan undang-undang," ujarnya.
Next Post Previous Post