Ibu anak empat sumbang pingat perak duathlon

Gambar MSN

HANOI— Atlet sukan lasak negara Tahira Najmunisaa Muhammad melakar pencapaian cemerlang pada penampilan sulungnya di pentas Sukan SEA apabila meraih pingat perak acara duathlon elit wanita di Sunset Bay di Tuan Chau, Bandar Halong hari ini.

Digelar wanita besi kerana pelbagai koleksi kejayaan dalam bidang sukan lasak, Tahira Najmunisaa, 33, hanya dipisahkan lebih kurang seminit di belakang pemenang emas dari Filipina Marion Kim Mangrobang yang merakam masa dua jam 13 minit dan 12 saat dalam keseluruhan dua disiplin.

Tahira Najmunisaa menamatkan saingan dengan mencatat masa 2:14.12s untuk mengesahkan perak dimenangi sementara wakil Indonesia, Zahra Putri Bulan Aprillia terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa dengan catatan 2:14.49s.

Bercakap kepada Bernama, Tahira Najmunisaa menzahirkan kesyukuran atas kejayaannya selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam memberikan tumpuan kepada persediaan menjelang temasya sukan dwitahunan itu.

“Ia satu perjalanan yang sukar, lagipun saya ibu anak empat jadi saya kena bahagikan banyak masa. Apabila saya dapat capai sasaran, saya memang rasa sangat berpuas hati.

“Walaupun saya rasa macam boleh buat lagi baik tapi saingan hari ini memang lain sedikit. Tetapi Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dan bersyukur sebab tidak menghampakan semua orang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi atlet wanita negara Chia Ling Pow menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan masa 2:20.30s.

Bagi kategori lelaki pula, dua atlet negara Nik Fakaruddin Ismail dan Muhammad Haziq Junaidy masing-masing berada di tempat ketujuh (2:00.18s) dan kesembilan (2:05.03s) pada saingan final yang berlangsung serentak di venue sama.

Pingat emas diraih atlet tuan rumah San Pham Tien yang merakam kepantasan 1:55.58s manakala dua wakil Indonesia Rudi Febriade (1:56.12s) dan Jauhari Johan (1:57.36s) masing-masing merangkul perak dan gangsa.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post