HDC sedia pinjaman perseorangan rumah panjang, lebih 20,000 telah menerima manfaat



KUCHING-- Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menawarkan pinjaman maksimum RM30,000 sepintu, tanpa faedah di bawah Program Pinjaman Kepada Perseorangan Rumah Panjang (PPKPRP). 


Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Mohamad Asman Ahmad berkata, sejak program itu diwujudkan, ia telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pintu, melibatkan 909 projek di seluruh negeri.




"PPKPRP adalah skim pinjaman dalam bentuk bahan binaan untuk pembinaan pengubahsuaian rumah panjang di mana pinjaman maksimum RM30,000 sepintu, tanpa faedah.


"Borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman web rasmi HDC https://hdc.sarawak.gov.my/," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Mohamad Asman menjelaskan, bagi tahun 2020 dan 2021 sahaja, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM100 juta untuk skim ini menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.    


“Selain tertakluk kepada kriteria permohonan iaitu tapak rumah tersebut hendaklah di atas sebuah tapak tanah yang sah dengan minima sekurang-kurangnya 10 pintu. 


"Keutamaan juga diberi kepada pemohon rumah panjang baru yang mempunyai tapak rumah serta kemudahan jalan bagi mengelakkan kelewatan dalam menghantar bekalan bahan binaan. 


"Bahan binaan akan dihantar dalam tempoh enam bulan selepas permohonan diluluskan,” tambahnya.


Untuk itu, katanya, HDC berharap penduduk rumah panjang memberi kerjasama dalam membayar balik pinjaman bagi memastikan ia dapat disalurkan kepada permohonan rumah-rumah panjang lain.


Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pembayaran kini boleh dibuat menerusi aplikasi JomPay, Virtual Account, BIMB Merchant dan Kaunter UTC, selain Kaunter Pembayaran di semua pejabat HDC serta Kaunter Bergerak berjadual HDC. 


Sementara itu, Majid Salok, 58, Tuai Rumah Tengalat Baru Klua Krian, Saratok berkata, bahan binaan baru digunakan seperti batu bata konkrit dan atap spandek adalah lebih kukuh berbanding rumah panjang lama yang menggunakan struktur kayu dan atap zink.


“Menerusi skim pinjaman ini, kami membayar ansuran RM100 sebulan tanpa dikenakan caj bunga,” ujar Tuai Rumah Sungai Sebedil, Batang Igan, Mukah. 


Jelas Thomas Palus, 54, permohonan skim pinjaman dibuat kerana beliau serta keluarga lain tidak mampu menyiapkan rumah panjang berusia 24 tahun, disebabkan kekangan kewangan.


Sehubungan itu, Mohamad Asman merakamkan ucapan terima kasih kepada semua wakil rakyat terlibat atas kerjasama yang diberikan dalam memastikan program ini mencapai sasaran.

Next Post Previous Post