Hatrik Kamara bantu Kuching City belasah Selangor 2
Kuching City berpesta gol dalam aksi Liga Premier malam ini dengan membelasah Selangor 2, 5-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini. Gambar kredit Malaysian Football League |
KUALA LUMPUR—Pasukan Kuching City berpesta gol dalam aksi Liga Premier malam ini dengan membelasah Selangor 2, 5-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini.
Kemenangan besar dibantu jaringan hatrik Abu Kamara itu juga membantu Kuching City di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim, melonjak ke kedudukan keempat carta selepas sembilan perlawanan, untuk berada di landasan tepat merebut slot ke Liga Super musim depan.
Abu Kamara. Gambar kredit Malaysian Football League |
Pada aksi malam ini, Kuching City terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-35, apabila Kamara berjaya menanduk masuk sepakan percuma daripada Mohamad Alif Hassan.
Penyerang import dari Liberia berusia 25 tahun itu, sekali lagi menunjukkan ketangkasannya apabila menjaringkan gol menerusi tandukan untuk menggandakan jaringan pada masa tambahan separuh masa pertama (45+2).
Aksi Kuching City menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Gambar kredit Malaysian Football League |
Bersambung babak kedua, skuad tuan rumah terus melakukan serangan bertali arus, sekali gus merapatkan jurang menerusi rembatan penyerang import dari Ghana George Attram pada minit ke-73.
Namun, Kuching City bertindak segera untuk menghentikan kebangkitan Selangor 2 untuk menyamakan kedudukan, apabila Shafizi Iqmal Khirusin meledak jaringan menerusi serangan pantas pada minit ke-78.
Gambar kredit Malaysian Football League |
Selang empat minit kemudian Kamara, yang mempunyai pengalaman beraksi di Laos, Kosovo, Slovenia dan Macedonia Utara, melengkapkan hatriknya apabila dengan bijak menendang bola melambung ke udara melepasi penjaga gol Sikh Izhan Nazrel sebelum masuk ke dalam gawang.
Pemain pertahanan dari Jepun Yuki Tanigawa melengkapkan kemenangan bergaya itu menerusi jaringan pada masa kecederaan (90+2).
Selepas sembilan perlawanan setakat ini, Kelantan FC mendahului carta dengan 22 mata, diikuti Johor Darul Ta’zim II (21), Terengganu FC II (19) dan Kuching City (17).
-- BERNAMA