Harga runcit RON97, RON95 dan diesel kekal

Gambar kredit MOF

KUALA LUMPUR—Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel kekal bagi tempoh seminggu bermula esok hingga 11 Mei.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing kekal pada RM3.94 dan RM2.05 seliter, manakala diesel pada RM2.15 seliter.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

MOF turut memaklumkan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post