Harga minyak melonjak selepas dua hari merudum
Harga minyak kembali melonjak pada Rabu sekali gus dapat memulihkan beberapa kerugian besar yang dialami industri awal minggu ini-Gambar hiasan kredit unsplash |
NEW YORK—Harga minyak kembali melonjak pada Rabu sekali gus dapat memulihkan beberapa kerugian besar yang dialami industri awal minggu ini, lapor Xinhua.
Penghantaran Jun West Texas Intermediate naik US$5.95, atau 6 peratus, kepada US$105.71 setong di New York Mercantile Exchange. Minyak mentah Brent untuk penghantaran Julai meningkat US$5.05, atau 4.9 peratus, untuk ditutup pada US$107.51 setong di Bursa Hadapan ICE London.
Peringkatan itu berikutan kerugian dua hari berturut-turut di pasaran minyak, yang menyaksikan standard minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan Brent masing-masing susut kira-kira sembilan peratus pada dua sesi sebelumnya.
Kebimbangan terhadap bekalan yang terhad berterusan ketika Kesatuan Eropah (EU) berusaha mendapatkan sokongan bagi mengenakan sekatan minyak terhadap Rusia.
Dalam pakej sekatan keenamnya yang disasarkan terhadap Moscow, EU merancang untuk menghapuskan minyak mentah Rusia secara berperingkat dalam tempoh enam bulan dan produk ditapis menjelang akhir tahun.
Hungary dan negara Eropah Timur lain, yang ekonominya bergantung pada minyak Rusia, masih belum bersedia untuk menerima pakej sekatan dalam bentuk semasa.
Peniaga juga menghuraikan data mengenai stok bahan api AS.
Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS pada Rabu melaporkan bahawa inventori minyak mentah negara meningkat sebanyak 8.5 juta tong pada minggu yang berakhir pada 6 Mei.
Menurut EIA, jumlah inventori petrol motor berkurangan sebanyak 3.6 juta tong minggu lepas, manakala inventori bahan api sulingan menurun 0.9 juta tong.
-- BERNAMA