Guna plat JANDA bawa padah, lelaki ditahan polis


SIBU--  Padah menggunakan nombor pendaftaran “JANDA”, seorang belia telah di tahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di sini semalam. 


Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli, belia lelaki terbabit yang berusia 21 tahun itu ditahan semasa anggota membuat rondaan setelah melihat sebuah motorsikal yang mencurigakan di Lorong Lanang 4. 


"Penunggang motorsikal tersebut ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu yang tertera 'JANDA'," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Berikutan itu, tegasnya, penunggang motosikal terbabit dibawa ke IPD Sibu untuk tindakan lanjut. 


Jelasnya, dia ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


"Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya. 


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang jalan raya terutamanya di musim perayaan.

Next Post Previous Post