Gabungan Ambank-RHB dan minat Grab hanya bualan pasaran, Azman Hashim
Tan Sri Azman Hashim /Gambar kredit Malay Mail |
PUTRAJAYA— Cadangan penggabungan AMMB Holdings Bhd (AmBank) dan RHB Bank Bhd serta minat Grab Holdings Inc terhadap kepentingan dalam bank itu masih kekal sebagai topik perbincangan di pasaran setakat ini, kata Pengerusi Emeritus/Penasihat Kehormat AmBank Tan Sri Azman Hashim.
Sambil mengakui mengetahui bahawa topik itu telah lama berlegar di pasaran, beliau berkata pada masa ini tiada sebarang perkembangan atau kemajuan baharu berkaitan cadangan tersebut.
“Perbincangan (bualan di pasaran) akan berterusan, namun sehingga sekarang ia tidak lebih daripada sekadar cakap-cakap. Malah, tiada apa-apa yang rasmi mengenai perkara berkaitan Grab setakat ini.
“Memang terdapat banyak cadangan yang sedang kami perhalusi, tetapi tiada yang serius,” katanya kepada Bernama di luar Program Pemimpin PKS 2022 Yayasan Kepimpinan Perdana yang bertemakan Pertukaran Pengetahuan Bagi Kecemerlangan Keusahawanan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Azman berkata AmBank sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan digitalnya yang turut membuka jalan pendigitalan sebagai langkah kemajuan ketika dunia banyak memberi tumpuan terhadap perbankan digital.
Menurutnya, bank itu juga telah melancarkan platform e-perbankan menerusi kerjasama dengan institusi lain dalam bidang baharu selain meninjau pendigitalan dengan struktur sedia ada walaupun tidak menyertai usaha mendapatkan lesen perbankan digital.
“Segmen e-perbankan kami telah berkembang pesat...kami tiada pilihan selain menyertai usaha serta persaingan (yang memerlukan penggunaan pendigitalan).
“Kami juga sentiasa mengemaskini serta mengeluarkan produk-produk baharu berikutan peranan pendigitalan itu yang dianggap sebagai keperluan masa depan,” katanya.
Laporan sebelum ini menyatakan Grab yang juga syarikat e-panggilan berpejabat di Singapura, berminat untuk membeli kepentingan dalam AmBank daripada dua pemegang saham terbesarnya, Australia and New Zealand Banking Group Ltd (ANZ) serta Azman.
ANZ memegang 21.68 peratus kepentingan dalam AmBank manakala Azman sebanyak 11.83 peratus.
Azman telah melepaskan tugas sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif AmBank berkuat kuasa pada 31 Mac, 2022 iaitu selepas berakhir tahun kewangan AmBank, namun kekal sebagai pengerusi dalam pelbagai entiti termasuk Institut Bank-Bank Bertauliah Asia, Asian Banking School Sdn Bhd, Financial Industry Collective Outreach (FINCO), Malaysia South-South Corp Bhd dan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun.
Beliau juga menyandang tugas sebagai pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana, Persatuan Selatan-Selatan Malaysia dan Majlis Penasihat Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia serta Pengerusi Emeritus Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC).
Usaha sama bank digital Grab, GXS Bank, telah diumumkan sebagai antara penerima lesen bank digital oleh Bank Negara Malaysia, baru-baru ini.
Pada awal tahun ini, Grab juga telah mengambil alih 16.3 peratus kepentingan dalam PT Bank Fama International Indonesia bagi mencari peluang di kawasan tersebut.
-- BERNAMA