Empat sekeluarga nyaris maut kereta dipandu terbabas
Anggota APM Sarikei berada di lokasi untuk membantu mangsa sekeluarga yang kemalangan di Jalan Gemuan, Bintangor petang semalam. Gambar APM |
SARIKEI— Empat sekeluarga nyaris maut selepas kereta yang dinaiki terbabas di Jalan Gemuan, Bintangor petang semalam.
Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri dan dua anak yang menaiki kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Orang awam kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei untuk memberi bantuan kecemasan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei Lt. (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, mereka menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 5.05 petang.
Katanya, seramai empat anggota dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) diketuai Sarjan George William Julin bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah ambulans.
“Tiba di lokasi didapati kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan.
Semua mangsa tiada mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Operasi menyelamat ditamatkan selepas semua dalam keadaan selamat.