Empat dicekup polis dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah sempena Hari Gawai dan cuti sekolah


KUCHING-- Empat individu ditangkap semasa Operasi Bersepadu Cegah Jenayah sempena Hari Gawai dan cuti sekolah di sekitar bandar raya ini semalam. 


Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, empat suspek itu masing-masing ditangkap atas kesalahan dadah dan aktiviti judi dalam talian. 



"Semasa operasi dijalankan terdapat tangkapan dan rampasan terhadap empat individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (seorang), Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (dua orang) dan Seksyen 12 (1) (a) ADB 1952 dan Seksyen 15 ( 1 ) ( a ) ADB 1952 (seorang).


"Selain itu, rampasan melibatkan dua paket plastik berwarna biru cerah yang mengandungi ketulan kristal kejernihan disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 0.66 gram," katanya dalam kenyataan hari ini. 



Jelasnya, operasi kali ini juga melibatkan bahagian komersil yang mana rampasan sebanyak 12 kain rentang iklan pinjaman wang tanpa lesen. 


"Tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan selanjutnya," tambahnya. 



Tegas Ahsmon lagi, operasi bersepadu ini akan dilakukan secara berterusan pada setiap hari bagi membendung berlakunya kegiatan jenayah di sekitar kawasan pentadbiran IPD Kuching. 


Di samping itu juga katanya, untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sempena perayaan Hari Gawai dan cuti sekolah.

 


Selain itu, Ahsmon memberitahu, dalam operasi yang bermula jam 10 pagi Khamis hingga 2 pagi Jumaat itu dijalankan oleh sembilan pegawai dan 94 anggota polis IPD Kuching dari pelbagai bahagian. 



"Turut serta adalah pasukan sahabat yang terdiri dari Tiga anggota SPRM dan tiga anggota Rela yang menumpukan pemeriksaan dan rondaan cegah jenayah di pusat tumpuan orang awam, pusat hiburan, pusat kewangan, pejabat kerajaan sekolah, rumah ibadat, pasaraya, kedai 24 jam dan lain-lain lokasi sensitif termasuk penguatkuasaan kesalahan trafik dadah dan komersil serta 'snapcheck'," dedahnya. 


Menurutnya lagi, seramai 379 orang telah diperiksa yang terdiri daripada 295 orang lelaki dan 84 orang perempuan. 



Pada masa sama katanya sebanyak 237 buah kenderaan telah diperiksa iaitu 97 motosikal, 106 kereta dan 34 van dan pacuan empat roda . 


"Daripada jumlah tersebut , sebanyak 32 keping saman telah dikeluarkan," ujarnya.

Next Post Previous Post