Eksekutif syarikat hangus RM335,000 diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan

SEREMBAN— Seorang eksekutif syarikat di Nilai dekat sini kerugian RM335,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak insurans dan pegawai polis sejak September tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata wanita berusia 51 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada pihak insurans tersebut yang memaklumkan dirinya ada membuat pengeluaran wang insurans sebanyak empat kali.

Beliau berkata susulan itu, mangsa dikatakan menerima panggilan daripada seorang pegawai polis yang dikenali sebagai Inspektor Chong memberitahu bahawa dia mempunyai waran tangkap dan mangsa ada terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

"Kemudian wanita itu telah diminta untuk membuka akaun Bank Rakyat dan menyerahkan maklumat perbankan dalam talian kepada lelaki itu.

"Mangsa telah melakukan beberapa transaksi ke akaun Bank Rakyatnya itu membabitkan jumlah RM335,000. Maklumat akaun bank suspek tidak dapat dikenal pasti kerana semua wang dimasukkan ke dalam akaun bank mangsa sendiri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post