DUN: Tiga RUU kerajaan akan dibentang
Asfia semasa sidang media selepas mesyuarat pra DUN di ibu pejabat PBB, Jalan Bako, di sini hari ini. |
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, RUU itu adalah RUU Perbekalan (2022) atau 'Supplementary Supply' (2022) Bill yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
"RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 atau 'Land Code (Amendment) Bill', 2022 yang akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
"Dan RUU Perhutanan (Pindaan) 2022 atau Forests (Amendment) Bill 2022 yang akan dibentangkan oleh Timbalan Premier; Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua; dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pra DUN di ibu pejabat PBB, Jalan Bako, di sini hari ini.
Tambah Asfia, bacaan pertama bagi kesemua RUU tersebut akan dilakukan pada hari kedua persidangan iaitu Rabu, 18 Mei 2022.
"Bagi Land Code (Amendment) Bill, 2022, bacaan Kedua dan Ketiga akan dilakukan pada hari yang sama iaitu Rabu, 18 Mei 2022.
"Bagi Forests (Amendment) Bill, 2022 pula, bacaan Kedua dan Ketiga akan dilakukan pada hari ketiga persidangan iaitu Khamis, 19Mei 2022.
"Manakala bagi Supplementary Supply (2022) Bill, 2022, bacaan Kedua dan Ketiga akan dilakukan pada hari keempat persidangan iaitu Jumaat, 20 Mei 2022," jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu bagi usul daripada Ahli Dewan Biasa di bawah Peraturan Mesyuarat 23, sehingga tarikh tutup penghantaran usul iaitu 10 hari sebelum persidangan bermula pihak DUN telah menerima satu usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How.
Terdahulu, beliau berkata Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 akan diadakan selama lapan hari bermula pada hari Selasa, 17 Mei 2022 sehingga hari Khamis, 26 Mei 2022 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak jam 9.00 pagi setiap hari persidangan.
Tambahnya, tiada persidangan pada Sabtu, 21 Mei 2022 dan Ahad, 22 Mei 2022.
Menurutnya lagi, persidangan kali ini akan dimulakan dengan upacara perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada hari Selasa, 17 Mei 2022.
"Upacara akan dimulai dengan Pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri di Dataran Perbarisan DUN.
"Selepas itu, Yang di-Pertua Negeri akan menyampaikan ucapan di dalam Dewan Mesyuarat (Chambers) di Aras 8," katanya.
Selain itu, Asfia berkata, setakat tarikh tutup penerimaan soalan pada 29 April lalu, sebanyak 347 soalan untuk jawapan lisan dan bertulis telah diterima daripada 41 orang Ahli Yang Berhormat.
Katanya, pembentangan usul bagi pemilihan ahli Dewan Negara pula akan dilakukan pada hari Rabu, 18 Mei 2022 selepas sesi soal jawab dan pembentangan rang undang-undang oleh Menteri yang bertanggungjawab.
"17 Laporan Kewangan Tahunan dan 4 Command Papers akan dibentangkan pada persidangan kali ini.
"Manakala perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di- Pertua Negeri Sarawak akan dilakukan pada hari Khamis, 19 Mei 2022 hingga Khamis, 26 Mei 2022," ujarnya.