Dua bot berlanggar di Semporna, juragan maut
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata ketika kejadian pada 7.20 malam itu mangsa berusia 50 tahun mengendalikan sebuah bot kecil serta tidak berlampu sebelum dilanggar sebuah bot tambang dinaiki tujuh penumpang.
"Pada 8.31 malam, polis bertugas di Balai Polis Pulau Bum Bum menerima laporan berhubung kejadian iaitu mangsa menaiki sebuah bot dari arah Pulau Bum Bum menuju ke Pekan Semporna sementara bot tambang dikendalikan seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun itu dari Pekan Semporna ke Pulau Bum Bum.
Impak pelanggaran itu, bot mangsa pecah di bahagian belakang serta enjin bot jatuh ke laut termasuk mangsa, dan penumpang bot tambang bertindak pantas menyelamatkan mangsa, setelah kejadian itu mangsa dibawa ke hospital namun lebih sejam kemudian mangsa yang mengalami kecederaan lebam di perut selain di lengan kanan disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu, selain juragan bot tambang berkenaan ditahan pada hari sama kejadian dan direman selama empat hari sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu Mohd Farhan berkata orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Insp Muhammad Nur Faez Hazreeq dengan menghubungi talian 089-781222 atau tampil ke balai polis berdekatan.
Di samping itu, Mohd Farhan turut mengingatkan pemilik bot atau juragan supaya memastikan keselamatan bot terjamin termasuk memasang lampu bot pada waktu malam serta menyediakan jaket keselamatan.
-- BERNAMA