Dr Juanda puji JPJ kenakan tindakan undang-undang kepada pemandu degil

Gambar kredit Juanda Jaya

IGAN-- Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Dr Juanda Jaya memuji tindakan penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak terhadap pemandu-pemandu lori yang 'degil' di kawasan tersebut.

Beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini turut berkongsi gambar-gambar operasi penguatkuasaan yang dijalankan JPJ Sarawak dalam memastikan pemandu-pemandu lori sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan. 

 
"Tahniah JPJ. Terima Kasih JPJ," katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu, Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng memuat naik hantaran yang mempersoalkan tindakan pengusaha/operator perkhidmatan feri di kawasan berkenaan membenarkan dua buah lori naik dalam satu tempoh masa sama menggunakan pengangkutan air itu. 


Jelasnya, sepatutnya hanya sebuah lori sahaja dibenarkan naik menggunakan perkhidmatan feri dalam satu tempoh masa (perjalanan).

"Peristiwa hari ini jam 12 tengah hari. Pertandingan teka berapa biji lori di sini?

"Sendiri bikin undang-undang, sendiri langgar kah? Sampai bila operator yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) langgar peraturan JKR," katanya dengan kesal.

Sebelum ini, Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili berkata, pihaknya akan mengadakan operasi khas bagi memburu lori-lori yang ingar peraturan jalan raya dengan membawa lebih muatan terutamanya di pangkalan perkhidmatan feri di seluruh negeri ini.



"Kita (JPJ) mengambil maklum tentang kenyataan yang dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Dr Juanda Jaya berhubung isu ini.

"Kita bagi pihak JPJ Sarawak memandang serius isu lori lebih muatan ini dan bagi memastikan perkara ini tidak berulang pemeriksaan akan dibuat dari semasa ke semasa.

"Pada masa sama tindakan akan diambil dan kita akan ke lokasi-lokasi (pangkalan feri) untuk membuat pemantauan menerusi operasi khas yang akan dijalankan," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2022 (OP HRA 2022) di Terminal Bus Sentral, Kuching baru-baru ini.


Katanya, pemeriksaan akan dijalankan dari Kuching hingga Mukah bagi memastikan perkara itu dapat dibendung kerana pihaknya memandang serius isu lori lebih muatan ini agar dapat dipastikan perkara ini tidak kembali berulang.

Selain jumlah lori melebihi had ditetapkan, Dr Juanda juga pernah memuat naik hantaran di Facebooknya yang mana sebuah lori dengan muatan sawit yang lebih muatan 'tersangkut' ketika hendak masuk menggunakan perkhidmatan feri di Batang Igan.

 
Akibat kejadian itu, besi penghadang had ketinggian kenderaan yang dipasang di laluan pangkalan feri berkenaan rosak selain menyebabkan kesesakan di laluan berkenaan sekali gus menyukarkan pengguna lain.
Next Post Previous Post