Cubaan 9 PATI bolosi sempadan negara di Lubok Antu gagal


LUBOK ANTU-- Cubaan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) membolosi sempadan negara melalui jalan tikus digagalkan sepasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kejadian awal pagi tadi.


Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, dalam kejadian 1 pagi itu, anggota petugas di kawasan tanggungjawab Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Bgd) telah mengesan sekumpulan lelaki yang mencurigakan di sektor Lubok Antu kawasan Ladang Salcra Tabau Gerunggang sekitar 2 kilometer dari sempadan Indonesia sedang berjalan kaki masuk ke negara ini menggunakan jalan yang tidak sah.



"Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua individu tersebut yang terdiri daripada lelaki warga Indonesia berusia sekitar 18 hingga 45 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya, pemeriksaan lanjut tidak menemui barang terlarang selain barangan peribadi bersama sembilan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai sekitar RM5,700.


"Kesemua PATI tersebut telah dibuat pengusiran pada jam 2 pagi setelah laporan Polis yang dibuat di Balai Polis Lubok Antu," ujarnya.


Sehubungan itu, katanya Tentera Darat akan terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.

Next Post Previous Post