Cita-cita pelajar rentung dalam kemalangan ikut jejak ibu tidak kesampaian

Gambar kredit Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)

KUALA KANGSAR— Hasrat seorang daripada lima pelajar yang rentung dalam kebakaran kereta selepas kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam tadi untuk mengikut jejak ibunya dalam bidang perniagaan tidak kesampaian.

Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, yang beralamat di Batu Caves, Selangor adalah pelajar semester dua Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Ibunya Siti Norazah Bahari, 42, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu mempunyai minat mendalam dalam bidang perniagaan sejak dahulu dan bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan berjaya.

"Arwah ambil jurusan perniagaan sebab dia memang minat berniaga macam saya tetapi kami keluarga terima atas apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini hari ini.

Siti Norazah berkata kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu adalah petang semalam namun Muhammad Nabil Haikal tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Arwah ada bertanya tentang kucing tetapi apabila dibalas sampai malam mesej menerusi aplikasi WhatsApp tidak berjawab.

"Dia juga tidak ada memaklumkan hendak pergi ke mana-mana dan kami dapat tahu mengenai kejadian apabila rakan arwah menghubungi kami memaklumkan anak saya terlibat kemalangan," katanya sebak.

Katanya, dia baru sahaja menghantar Muhammad Nabil Haikal untuk pulang ke kuliah dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pada Isnin lepas bagi menjalani pembelajaran secara bersemuka buat pertama kali kerana hanya menghadiri kelas secara dalam talian sebelum ini.

Siti Norazah berkata pemergian anak kesayangannya itu tidak disangka dan kehilangannya amat sukar dipercayai oleh mereka sekeluarga kerana amat manja dengan adik-beradiknya yang lain.

Katanya, jenazah Muhammad Nabil Haikal akan dibawa untuk dikebumikan di Nilai, Negeri Sembilan selepas proses bedah siasat selesai di Hospital Kuala Kangsar.

 Dalam kejadian tengah malam tadi, Muhammad Nabil Haikal yang duduk di bahagian penumpang belakang rentung bersama empat rakan apabila kereta jenis Honda City dinaiki terbakar selepas kemalangan bersama dua treler KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kuala Kangsar.

Empat rakannya yang turut terkorban adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 (penumpang hadapan), Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang.

Sementara itu, Halimi Ali Yahad, 50, bapa kepada Iqbal Hasnun berkata dia menghantar anaknya pulang ke kampus bagi meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada Ahad lepas setelah  menyambut Hari Raya di Johor.

"Saya tidak melihat perubahan pada anak saya semasa pulang beraya. Walaupun sedih tetapi Allah lebih menyayanginya apabila meninggal dalam keadaan muda dan kami reda," katanya.

Mengulas mengenai perwatakan Iqbal Hasnun, dia berkata anaknya itu seorang yang penyayang dan selalu berpesan kepada adik-adiknya supaya menjaga kesihatan.

"Ini kerana Iqbal Hasnun menghidap penyakit pneumonia (radang paru-paru) sejak kecil lagi," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post