China kuat kuasakan Perjanjian Marrakesh

Perjanjian Marrakesh yang bertujuan memberi kemudahan akses kepada pelbagai bahan bacaan untuk Orang Kurang Upaya (OKU). Gambar kredit Unsplash

BEIJING— Perjanjian Marrakesh yang bertujuan memberi kemudahan akses kepada pelbagai bahan bacaan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) buta berkuat kuasa di China mulai hari ini.

China antara negara kumpulan pertama yang menandatangani Perjanjian Marrakesh selepas ia diluluskan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) pada Jun 2013.

Pada November 2020, China telah menyelesaikan pemindaan terhadap Undang-undang Hak Cipta sebagai persiapan bagi penguatkuasaan perjanjian berkenaan.

Penguatkuasaan perjanjian itu bakal memberi jaminan lebih sempurna kepada OKU buta yang berjumlah kira-kira 17.32 juta orang di China bagi memperoleh maklumat budaya serta pendidikan secara saksama. 

Menurut pegawai Jabatan Pentadbiran Hak Cipta Negara China (NCAC), pihaknya akan mengambil pelbagai inisiatif bagi mendorong pelaksanaan Perjanjian Marrakesh.

Ia termasuk menyempurnakan mekanisme sokongan, menggubal kaedah pelaksanaan yang sejajar dengan keadaan negara sendiri serta menstandardkan piawaian bahan bacaan yang dapat diakses OKU buta.

Selain itu, NCAC juga komited memperkasa kerjasama dengan WIPO dan Accessible Books Consortium (ABC) bagi merancakkan pertukaran bahan bacaan Braille di arena antarabangsa.

Setakat ini, Perjanjian Marrakesh telah dimeterai 84 pihak dari seluruh dunia.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post