China bina stesen meteorologi tertinggi dunia

Gambar media sosial

BEIJING— Pasukan penyelidik China berjaya menempatkan stesen pemantauan meteorologi automatik di puncak Gunung Qomolangma, pada tengah hari Rabu.

Berada pada ketinggian lebih 8,800 meter, ia merupakan stesen meteorologi yang tertinggi di dunia, sekali gus menjadikannya sangat signifikan dalam sejarah kajian saintifik Dataran Tinggi Qinghai-Tibet.

Kemudahan itu mengatasi stesen meteorologi yang berada pada ketinggian 8,430 meter di sebelah selatan gunung yang dibina saintis British dan Amerika Syarikat (AS) pada 2019.

Menurut Institut Penyelidikan Dataran Tinggi Tibet (ITP) di bawah Akademi Sains China (CAS), pencapaian terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan stesen meteorologi yang berada di altitud berbeza di Gunung Qomolangma mencecah lapan buah.

Ahli penyelidik ITP, Zhao Huabiao berkata data meteorologi yang dipantau akan menyokong penyelidikan saintifik dan aktiviti mendaki gunung.

Pada Rabu, seramai 13 penyelidik berjaya sampai di puncak gunung, dan buat julung kalinya mengukur ketebalan ais dan salji dengan radar berketepatan tinggi, serta mengumpul sampel berkenaan untuk kajian lanjut.

Dengan kajian lapangan paling banyak, bilangan peserta paling ramai serta peralatan dan kelengkapan paling canggih, ekspedisi bergelar “Misi Puncak” itu adalah antara yang terbesar sejak program kajian saintifik di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet bermula pada 2017.

Penyelidikan berkenaan penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar di dataran tinggi itu dapat dicapai, dan menjadikan negara ini peneraju dalam bidang ekspedisi di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post