Bukan jalan raya saja sesak, di Sungai Balui pun berlaku kesesakan akibat sisa balak

Tangkap layar menunjukkan sisa balak yang memenuhi Sungai Balui di Long Jawe sehingga menyukarkan penduduk kampung yang menggunakan sungai sebagai pengangkutan utama. Video ihsan Datuk Liwan Lagang

KUCHING—Sisa balak kembali membanjiri Sungai Balui di Long Jawe hingga menyebabkan kesesakan dan menyukarkan penduduk berulang alik menggunakan pengangkutan sungai di kawasan tersebut. 


Memetik laporan Dayak Daily, Penghulu Peter Ho berkata, pada 21 Mei lalu beliau dalam perjalanan ke Long Busang menggunakan perahu melalui sungai berkenaan terpaksa mengharungi sisa balak di Long Jawe. 



Tambahnya, beliau kemudian singgah di Long Jawe untuk bertemu ketua masyarakat di situ yang dikenali sebagai Japing. 


Jelasnya, ketua masyarakat di situ telah memintanya untuk menyuarakan masalah tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan. 


"Japing meminta saya membantu memaklumkan isu itu kepada pihak berkuasa supaya kesesakan sisa balak itu dapat diselesaikan secepat mungkin," kata Peter lagi. 


Menurutnya, Japing memaklumkan masalah kesesakan sisa balak itu telah mendatangkan kesulitan kepada penduduk terutama mereka yang bergantung kepada pengangkutan sungai. 


"Mereka tidak lagi boleh pergi memancing atau pergi ke ladang mereka kerana sisa balak yang terapung di sungai mendatangkan bahaya  bagi mereka yang menggunakan laluan sungai ini. 



Tambahnya lagi, sisa balak berkenaan sentiasa ada di suatu tempat berhampiran Long Jawe. 


"Apabila air sungai semakin naik, sisa kayu balak akan berada di bahagian atas Long Jawe dan semasa paras air rendah, ia akan berada di bawah Long Jawe .


"Ia juga bergantung pada bahagian mana  Sungai Balui itu. Jika ia adalah bahagian sungai yang luas, maka ia terbentang antara 500 hingga 600 meter sepanjang sungai.  


"Jika di bahagian sungai yang sempit , maka kesesakan sisa balak itu boleh menjangkau satu kilometer panjang," dedahnya. 


 

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa walaupun ada syarikat ditugaskan untuk membersihkan sisa itu namun, tiada apa yang telah dilakukan untuk beberapa tahun kebelakangan ini.


"Adalah menjadi harapan Japing agar sisa balak itu dapat dibuang secepat mungkin supaya penduduk di Long Jawe dapat meneruskan kehidupan seperti biasa menangkap ikan dan menjaga ladang mereka," kata Peter.  


Beliau semasa dalam perjalanan ke Long Busang untuk menyelesaikan beberapa perkara, berkata Sungai Balui yang dilanda kesesakan sisa balak masih boleh dilalui, tetapi seseorang terpaksa ditempatkan di hadapan bot, untuk menolak secara manual sisa tersebut.  


Beliau mengambil masa lebih setengah jam untuk meredah sungai yang dibanjiri sisa balak sekaligus menambah masa perjalanannya.  


"Tanpa sisa balak, ia mengambil masa enam jam dari Long Jawe ke Bakun dengan bot panjang dan kira-kira tiga jam dengan bot laju," kata Peter.

Next Post Previous Post