Buat laporan palsu, mekanik berdepan hukuman penjara
Suspek ditahan selepas mengaku membuat laporan palsu kehilangan motosikal untuk tuntutan insurans. Gambar Polis |
MIRI—Gara-gara membuat laporan palsu berhubung kehilangan sebuah motosikal, seorang mekanik bakal berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, berkata suspek berusia 27 tahun itu telah ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dalam tempoh kurang sejam selepas membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.
“Suspek telah datang ke Balai Polis Pusat Miri sekitar jam 11 pagi Khamis. Namun keterangan kehilangan motosikal yang diberikan suspek menimbulkan kecurigaan kepada pihak polis yang bertugas.
Setelah selesai ditemubual siasat, suspek mengaku kes itu tidak wujud dan tujuan laporan adalah untuk tuntutan palsu insurans,”ujar Alexson.
Justeru itu, orang ramai dinasihat agar tidak menyusahkan polis untuk menyiasat kes yang tidak wujud dengan mereka-reka cerita yang tidak betul.
"Pihak polis tidak akan teragak-agak memgambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang yang sedia ada bagi mendakwa pelaku," ujarnya.