Bomba selamatkan dua OKU terperangkap di Gunung Santubong

Gambar Bomba

KUCHING--Dua individu kelainan upaya (OKU) mendapatkan bantuan anggota Bomba selepas mengalami kesukaran menuruni bukit akibat keletihan ketika mendaki Gunung Santubong di sini, petang tadi.

Difahamkan, Hillary Mupug, 26, dan Meriah Mohamad Huzairi, 25, tidak larat turun akibat terlalu letih sebelum seorang Renjer daripada Sarawak Forestry menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.


Komander Operasi, PBK II Pero Guyuh berkata, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.07 petang berhubung dua orang awam tersangkut di aras Gunung Santubong pada Tahap 8.

"Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah diarahkan ke lokasi bagi melakukan tugasan penyelamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sejurus tiba katanya, anggota bomba segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi yang dilaporkan bagi membawa turun kedua-dua individu yang merupakan seorang lelaki dan wanita berkenaan.

"Sekitar jam 7.30 malam, kedua-dua mereka berjaya dibawa turun dengan selamat dan diserahkan kepada pihak polis.

"Mereka juga didapati tiada mengalami sebarang kecederaan," katanya lagi.
Next Post Previous Post