Bomba kaji guna dron dalam operasi kebakaran

Gambar hiasan Unsplash

KUALA LUMPUR—Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengkaji penggunaan dron untuk operasi pemadaman menggunakan bahan kimia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.


Beliau berkata operasi tersebut melibatkan pemadaman kebakaran di hutan dan struktur seperti bangunan.


“Beberapa penyelidikan dilakukan terutama melibatkan pemadaman menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) dan ia ada indikasi keberkesanan tetapi kita memerlukan dron yang boleh membawa beban yang lebih kerana untuk membawa air lebih kurang 100 liter, beratnya kira-kira 100 kilogram.


“Kita sedang mengkaji untuk menggunakan dron di tempat-tempat tertentu menggunakan bahan kimia kerana ia lebih berkesan (dalam) proses pemadaman,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Awani Pagi terbitan Astro Awani hari ini.


Beliau berkata setakat ini JBPM mempunyai empat dron yang boleh membawa muatan sederhana berat selain digunakan untuk melakukan pemantauan dalam operasi mencari dan menyelamat.


Mohammad Hamdan berkata penggunaan dron itu turut membantu mengurangkan risiko kepada anggota selain menjimatkan masa dan tenaga dalam setiap operasi penyelamatan.


Mengenai persediaan JBPM dalam menghadapi peralihan monsun barat daya yang mengakibatkan cuaca panas dan kekeringan serta kemarau beliau berkata seramai 12,500 anggota di seluruh negara termasuk aset berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi situasi itu.


“Kita percaya mulai bulan ini hingga September, kita akan menghadapi musim kemarau dan kekeringan yang membawa kepada krisis air serta kebakaran sehingga menyumbang kepada bencana jerebu.


“Pemantauan akan dilakukan anggota bomba terutama di kawasan ‘hotspot’ dan selalunya keadaan ini menyebabkan kebakaran hutan dan tanah gambut yang lazimnya berlaku di Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post