Suami isteri maut, kereta dirempuh MPV dari belakang
KUCHING—Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki pasangan tersebut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berlaku di Jalan Akses FAC Matang pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, pasangan terbabit dikenali sebagai Sulyani Gimo (pemandu), berusia 54 tahun dan suaminya, Abdul Wahap Yusup, 52, kedua-dua pekerja pakir kenderaan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Dalam kejadian sekitar jam 6.45 pagi itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah MPV jenis Toyota Gaia yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dengan sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki pasangan tersebut.
"Kawasan kemalangan adalah satu hala dua lorong serta mempunyai garisan putih putus-putus sebagai pembahagi laluan iaitu dari arah Kuching hendak menuju ke arah Matang.
Keadaan kereta terlibat kemalangan yang mengorbankan pasangan suami isteri di Jalan FAC dari Kuching menghala ke Telaga Air di sini, hari ini |
"Semasa kemalangan berlaku keadaan cuaca adalah cerah dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta telah keluar dari simpang Jalan Taman Palma Matang dan sedang bergerak lurus di lorong kiri jalan dari arah Kuching hendak menghala ke Matang tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh MPV," katanya dalam kenyataan hari ini
Bingkok menjelaskan akibat pelanggaran itu kereta Axia suami isteri terbabit terbabas dan melanggar tiang lampu di bahu sebelah kiri jalan.
Manakala MPV terbabit katanya terbabas dan melanggar tiang lampu yang berada di pembahagi tengah jalan.
"Pemandu MPV tersebut mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian kaki dan tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Manakala pemandu dan penumpang yang tersepit di bahagian hadapan kenderaan akibat dilanggar di bahagian belakang, disahkan maut ditempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS)," ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya lagi, hasil siasatan awal mendapati kereta pasangan terbabit dilanggar dari belakang oleh MPV yang dipandu laju.
"Akibat perlanggaran tersebut, kereta pasangan terbabit rosak di bahagian belakang manakala MPV rosak di bahagian hadapan," dedahnya.
Bagaimanapun katanya kes masih dalam siasatan.