Bergaduh ketika mabuk, seorang gelandangan ditahan


BINTULU: Polis Bintulu menahan seorang lelaki gelandangan dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di bawah jejantas berhadapan Pasar Raya Sing Kwong Medan Jaya, di sini baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Batholomew Umpit berkata, satu  kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian di mana suspek dengan sengaja menyebabkan kecerderaan terhadap mangsa di kawasan berkenaan.



Katanya, atas maklumat awam, pasukan polis Bintulu bergegas ke tempat kejadian dan menjumpai mangsa di kawasan tersebut dengan keadaan luka di kepala dan telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.


"Hasil siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa keduanya merupakan gelandangan warganegara tempatan di mana saspek juga merupakan rakan kepada mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Batholomew, kedua-duanya dipercayai terlibat dalam aktiviti pengambilan alkohol dan berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga menyebabkan suspek menyerang mangsa menggunakan sebatang besi.



Disebabkan kejadian itu katanya, mangsa mengalami kecederaan luka dan koyak di bahagian atas kepala dan menerima empat jahitan serta ditahan di zon kuning Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut. 


"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan dijalankan oleh pihak polis.


"Sementara itu, jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes sila berhubung dengan pegawai IPD Bintulu, Insp Nurikman Hadi di talian 086-318304," katanya.

Next Post Previous Post