Bekalan tepung gandum negara tidak terjejas, KPDNHEP
Gambar KPDNHEP |
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya adalah dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.
“Justeru larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik tidak menjejaskan bekalan tepung gandum negara,” menurut KPDNHEP dalam catatan di Twitter hari ini.
Menurut kementerian itu, sebanyak 2,200 penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan bekalan tepung bersubsidi dan tidak bersubsidi stabil di pasaran.
Ketua Pengarah Perdagangan Luar Negara di bawah Kementerian Perdagangan dalam satu pemberitahuan bertarikh 13 Mei memaklumkan India menghentikan eksport gandum berkuat kuasa serta-merta dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan makanannya.
Eksport gandum ke negara lain hanya dibenarkan ‘atas kelulusan kerajaan India dan berdasarkan permintaan kerajaan mereka’.
India mengeksport tujuh juta tan metrik gandum bernilai kira-kira AS$2 bilion pada tahun kewangan 2021-22 dan separuh daripadanya dibeli oleh Bangladesh.
Laporan media baru-baru ini menyatakan pengeluaran gandum India tahun ini terjejas akibat gelombang haba selain negara itu juga berdepan peningkatan inflasi makanan berikutan harga komoditi global lebih tinggi.
-- BERNAMA