Anggota polis trafik maut, enam ahli keluarga cedera

Gambar hiasan

KOTA BHARU—Seorang anggota polis trafik maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Shuhaimi Jusoh berkata dalam kejadian 4.50 pagi itu, mangsa Ahmad Ibrahim, 31, yang bertugas di Balai Polis Trafik Klang Selatan, Selangor maut di tempat kejadian, manakala anaknya Nur Ariana Sofia, 3, cedera parah dan lima penumpang lain cedera ringan.

"Mangsa yang memandu kereta perodua Aruz itu dalam perjalanan dari Gua Musang untuk menghantar ahli keluarganya ke Kampung Manik Urai di Kuala Krai, dipercayai telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu terbabas ke dalam sungai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post