Aliran trafik penumpang udara terus pulih, IATA

Gambar arkib sekadar hiasan 

KUALA LUMPUR—Perjalanan udara terus mencatat pemulihan dengan aliran trafik penumpangnya melonjak 76.0 peratus pada Mac 2022 berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam laporan data penumpang bagi Mac 2022 yang dikeluarkan hari ini, IATA berkata impak keseluruhan akibat konflik di Ukraine ke atas permintaan perjalanan udara adalah terhad manakala kesan membabitkan Omicron pula lebih ketara di pasaran domestik Asia.

“Walaupun trafik pada Mac 2022 lebih rendah berbanding peningkatan permintaan sebanyak 115.9 peratus tahun ke tahun pada Februari, volum pada Mac adalah menghampiri paras prapandemik 2019 iaitu pada 41 peratus dan ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu IATA berkata aliran trafik domestik pada Mac juga meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh setahun lepas dan jauh lebih rendah berbanding pemulihan 59.4 peratus tahun ke tahun pada Februari.

“Ini terutamanya disebabkan oleh sekatan pergerakan berkaitan Omicron di China. Jumlah hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) susut 23.2 peratus berbanding Mac 2019,” katanya.

RPK antarabangsa melonjak 285.3 peratus berbanding Mac 2021, mengatasi pulangan sebanyak 259.2 peratus pada Februari berbanding tempoh sama setahun sebelumnya.

“Sebahagian besar rantau mencatat prestasi lebih memberangsangkan berbanding bulan sebelumnya dan didahului oleh syarikat penerbangan di Eropah.

“Syarikat penerbangan Asia Pasifik menyaksikan peningkatan trafik sebanyak 197.1 peratus pada Mac berbanding tempoh sama pada 2021 -- menambah pulangan sebanyak 146.5 peratus pada Februari berbanding Februari 2021,” katanya.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata peningkatan permintaan yang ketara dan dijangkakan itu dapat direalisasikan susulan kelonggaran sekatan pergerakan di kebanyakan kawasan.

“Malangnya, kami juga melihat berlakunya kelewatan yang lama di sebahagian besar lapangan terbang dengan kekurangan sumber bagi menampung peningkatan bilangan trafik. Perkara ini perlu ditangani dengan segera bagi mengelak rasa teruja penumpang melakukan perjalanan udara, terjejas,” katanya.

Walsh juga menyifatkan pemulihan perjalanan udara yang berterusan pada masa ini sebagai berita baik untuk ekonomi global selain menamatkan perpisahan ramai sahabat dan ahli keluarga dan membantu berjuta-juta orang yang bergantung kepada pengangkutan udara sebagai sumber pendapatan.

“Namun, malangnya terdapat tindakan segelintir kerajaan yang menghalang pemulihan ini dengan keadaan paling ketara berlaku di Netherlands,” katanya.

Beliau merujuk kepada langkah termasuk tindakan kerajaan negara itu membenarkan lapangan terbang Schipol menaikkan caj sebanyak 37 peratus dalam tempoh tiga tahun ini bagi menampung kerugian yang dialami akibat COVID-19.

  -- BERNAMA
Next Post Previous Post