Agong titah rakyat jaga kesihatan ketika sambut Aidilfitri
Gambar kredit Istana Negara |
Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Seri Paduka bertitah kedatangan Ramadan dan Syawal kali ini adalah ketika negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik hasil usaha rakyat selama lebih dua tahun memerangi COVID-19 sehingga menampakkan sinar di hujung kegelapan.
Al-Sultan Abdullah bertitah ini juga hasil usaha padu kerajaan dan kesatuan rakyat dalam mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan pemberian dos penggalak yang semakin meluas.
“Pelbagai onak dan ranjau yang telah kita tempuhi dalam perjuangan membebaskan negara daripada belenggu COVID-19. Melangkah ke hadapan, rakyat beta hendaklah meneruskan momentum dengan berterusan mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan yang baik dan mematuhi semua saranan kerajaan.
Jangan sekali-kali mengambil mudah dan bersikap sambil lewa akan nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah SWT. Sesungguhnya nikmat kesihatan itu adalah asas bagi kehidupan yang sempurna dan kepada pembangunan negara tercinta,” titah Seri Paduka dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan stesen-stesen televisyen dan radio, malam ini.
Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan keyakinan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas akan memberikan impak besar kepada pemulihan ekonomi negara selain membawa keceriaan kepada rakyat untuk pulang ke kampung halaman menziarahi ahli keluarga.
Titah Al-Sultan Abdullah, kemeriahan menyambut Aidilfitri pada tahun ini sudah pasti akan lebih dinikmati bersama orang yang tersayang.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengingatkan rakyat yang memandu untuk pulang ke kampung halaman supaya sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang pemanduan dan mematuhi undang-undang ditetapkan.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan negara meliputi Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas perkhidmatan kesihatan serta semua agensi kerajaan yang menggalas amanah memelihara keamanan dan kedaulatan negara.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar seluruh rakyat beta dan negara Malaysia yang di cintai ini akan kekal bersatu padu dan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka.
-- BERNAMA