Abang Johari kongsi cara Sarawak percepat ekonomi hidrogren di Rotterdam
Menurut kenyataan Pejabat Premier Sarawak, Abang Johari akan menyertai kira-kira 3,500 pemimpin kerajaan dan industri dari seluruh dunia untuk meneroka teknologi, aplikasi dan penyelesaian hidrogen terkini.
Aband Johari dan delegasinya termasuk Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan berlepas ke Rotterdam esok.
“Dalam slot 20 minit pada Isnin (9 Mei) pada permulaan sidang kemuncak, ucapan Premier sebagai penceramah kedua akan berdasarkan tema 'Mempercepatkan Ekonomi Hidrogen Global: Cara Sarawak' terutamanya untuk menonjolkan Sarawak sebagai negeri yang semakin meningkat dalam arena tenaga boleh diperbaharui, dan ia adalah hidrogen.
“Pada sebelah petang, Premier dan anggota delegasinya dijadualkan melawat pejabat Shell di The Haque dan beliau akan diberi taklimat oleh eksekutif kanan Shell, antara lain, mengenai masa depan Shell di Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Pada 10 Mei, delegasi Premier dijadual bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Rotterdam dan kemudian, pada sebelah petang, mereka akan dibawa melawat pusat teknologi Shell di Amsterdam yang menampilkan teknologi hidrogen syarikat multinasional dan pelbagai inovasi baharu lain.
Sarawak adalah perintis dalam meneroka ekonomi hidrogen yang menyaksikan penubuhan kemudahan pengeluaran hidrogen pertamanya di Kuching dan menjalankan percubaan dua buah bas berkuasa hidrogen di jalan-jalan di ibu negeri itu.
Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, delegasi berkenaan juga akan ke Oslo, Norway pada 11 Mei untuk mengetahui operasi dana kekayaan negara itu.
“Premier telah menyatakan bahawa (dana kekayaan negara Norway) akan menjadi model untuk dana serupa yang akan ditubuhkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membawa lebih banyak pulangan kepada lebihan dana yang mungkin terkumpul Sarawak pada masa hadapan,” tambahnya.
-- BERNAMA