38 penghuni hilang tempat tinggal

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaranyang berlaku di Lorong 5 Kampung Tabuan Dayak malam tadi. Gambar kredit Bomba Sarawak 

KUCHING—Penghuni empat rumah di Lorong 5 Kampung Tabuan Dayak di sini tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 8.29 malam.

Sebahagian mangsa yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran malam tadi. Gambar kredit Bomba Sarawak 

Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan Batu Lintang dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, Komander Operasi mengesahkan kebakaran pada mulanya melibatkan tiga buah rumah iaitu rumah pertama jenis tidak kekal dua tingkat berkeluasan 10x20 kaki persegi terbakar sepenuhnya.

"Sementara itu, rumah kedua jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan 20x40 kaki persegi terbakar 70 peratus dan rumah ketiga iaitu jenis tidak kekal setingkat berkeluasan 15x30 kaki persegi telah terbakar 40 peratus," katanya dalam kenyataan semalam.


Pihak Bomba katanya, menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.47 malam.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis jumlah sebenar rumah terjejas akibat kebakaran tersebut adalah sebanyak empat buah rumah manakala 38 penghuni rumah dilaporkan dalam keadaan selamat.

Operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.49 malam.
Next Post Previous Post