33 mangsa kebakaran di Kampung Tabuan Dayak rayu tempat tinggal sementara
Ongom (diri), Rosebell (kiri), dan Sidia (dua kanan) bersama mangsa kebakaran di dewan gereja. Gambar kredit The Borneo Post |
Memetik laporan The Borneo Post, mangsa termasuk enam kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun, kini menumpang di dewan Gereja All Saints sejak kediaman mereka musnah terbakar pada malam 7 Mei lalu.
Ahli jawatankuasa bencana gereja berkenaan, Rosebell Gemini berkata, mangsa terlibat sepatutnya tinggal sementara di dewan gereja tersebut hingga hari ini.
Jelasnya, mereka sepatutnya mengadakan berbincang dengan Pejabat Daerah Kuching untuk bantuan berkaitan semalam tetapi temu janji tersebut ditangguh esok hari.
"Setakat ini, dewan gereja telah ditempah untuk kegunaan bagi aktiviti minggu ini," katanya.
Salah seorang daripada mangsa, Sidia Keli berkata, sekiranya mereka diminta berpindah dari tempat ini hari ini, mereka tidak tahu hendak ke mana lagi.
"Ini kerana notis singkat untuk kami mencari rumah sewa atau tempat tinggal sementara. Kami tidak mempunyai saudara mara atau ahli keluarga yang berdekatan, tambahan pula keluarga kami terlalu besar untuk tinggal bersama saudara mara.
“Saya merayu kepada pihak berkuasa untuk membantu kami mencari sebidang tanah kosong atau membeli kami beberapa bahan kayu untuk kami membina rumah kami di tanah kosong, atau mungkin pejabat Suruhanjaya Perumahan boleh membantu kami mendapatkan rumah kos rendah," katanya.
Dalam insiden kebakaran itu, kesemua mangsa ditempatkan di dewan gereja tersebut dengan dibantu penduduk kampung yang diketuai Tuai Kampung Tabuan Dayak Paya Ongom Gudi dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Mereka juga menerima bantuan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang diketuai
Sih Hua Tong.
Dalam pada itu, Ongom turut merayu agar kerajaan membina sebuah dewan masyarakat di Kampung Tabuan Dayak.
"Dengan adanya dewan masyarakat ini, kita dapat membantu penduduk jika berlaku kes seumpama ini," ujarnya.
Jelasnya, dewan lama di situ dimiliki Kesatuan Dayak Sarawak Kebangsaan (SDNU) yang telah uzur dimamah usia.
“Kita minta pihak kerajaan dapat menyalurkan dana untuk kita membina semula dewan ini di tapak yang sama," tambahnya.
Setakat berita ini ditulis, kesemua mangsa dipindahkan dan ditempatkan sementara di dewan masyarakat Kampung Stampin Baru.