10 tahun projek tak siap, penduduk kecewa

Keadaan semasa laluan Nanga Tissay dan Nanga Kelabat menghala ke Ulu Binyo yang rosak teruk. Gambar penduduk


BINTULU— Penduduk tempatan mempersoalkan kelewatan projek pembinaan jalan di Ulu Binyo dan Pandan yang tidak siap-siap selepas 10 tahun berlalu.

Kini jalan raya tersebut mengalami kerosakan teruk dan berlubang.  

Dengar khabar, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membina tersebut pada 2013, membuatkan penduduk tertanya-tanya bila jalan tersebut akan siap?

Seorang penduduk berkata, dengan peruntukan berpuluh juta, jalan tersebut sepatutnya sudah siap, namun sebaliknya pula yang berlaku.  

Rata-rata penduduk dari 10 buah rumah panjang di kawasan itu berasa kesal dengan keadaan jalan raya yang masih rosak dan tidak diselenggara.


“Kami hanya mahu tahu, mengapa jalan ini masih teruk walaupun selepas 10 tahun?

“Kami kesal dengan keadaan jalan yang rosak serta berlubang terutama ramai yang menggunakan laluan ini untuk pulang ke rumah panjang masing-masing bagi meraikan Gawai Dayak dalam beberapa hari lagi,”  katanya kepada Borneo Network.

Seorang lagi penduduk yang kerap menggunakan laluan terbabit berkata, laluan dari Jambatan Tissay hingga kawasan  Nanga Kelabat sudah diturap, namun ia terlalu nipis hingga menyebabkannya banyak sudah pecah dan berlubang.

“Melihat kepada keadaan permukaan yang nipis dan berlubang, kami tidak tahu berapa lama lagi jalan ini mampu bertahan.  

Mungkin ia akan tinggal kenangan jika ia tidak diselenggara dengan baik,” katanya dengan kesal.

Selain rumah panjang, jalan ini menghubungkan beberapa buah sekolah rendah.
Next Post Previous Post