Warga emas hilang di hutan ditemui selamat


MIRI--Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang hampir sejam di kawasan hutan Kampung Iran Rh Ngadan, Jalan Pesisir Miri/Bintulu dekat sini, ditemui selamat malam tadi.

Wanita berusia 88 tahun itu ditemukan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan pada pukul 9.17 malam.

Komander Operasi, PBT Rary Binjie berkata, maklumat kehilangan mangsa diterima pada pukul 8.44 malam.

Laporan awal katanya, mengatakan wanita terbabit masuk ke dalam hutan pada jam 3 petang semalam dan tidak pulang sehingga laporan kehilangan dibuat ahli keluargnya.

"Setelah mendapatkan maklumat daripada keluarga mangsa, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membuat pencarian bersama-sama orang kampung di lokasi wanita terbabit dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Rary, seramai sembilan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah terlibat dalam operasi itu.

Sementara itu katanya, disebabkan keadaan gelap pasukan operasi hanya mencari sekitar radius 300 meter.

"Setelah lebih kurang 10 minit pencarian dijalankan wanita terbabit ditemui oleh pasukan SAR pada jam 9.17 malam dengan jarak dianggarkan 300 kaki dari rumahnya.

"Mangsa ditemui di kebun sawit dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

Operasi kemudian ditamatkan sejurus wanita terbabit berjaya ditemukan.
Next Post Previous Post