Warga emas buat pusingan U, diseret kereta maut di lokasi kemalangan

Mangsa bersama motosikal yang ditunggangnya telah diseret oleh kereta dalam kemalangan di Jalan Kuching-Sri Aman.

SERIAN--Terseret oleh kereta yang melanggarnya, lelaki warga emas maut akibat cedera parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta di kilometer 64, Jalan Kuching-Sri Aman, di sini hari ini.

Dalam kejadian 2.15 petang itu, mangsa seorang petani berusia 66 tahun dikatakan hendak membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan di lokasi kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian mangsa telah berlanggar dengan sebuah kereta yang sedang bergerak dari Serian menghala ke Sri Aman. 


“Mangsa bersama motosikal yang ditunggangnya telah diseret oleh kereta sebelum kereta terbabit terbabas ke sebelah kiri jalan menuju ke Sri Aman dan melanggar tiang lampu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat cedera parah di kepala. 


Alexson memberitahu, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu, pemandu kereta yang berusia 50 tahun katanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan telah ditahan dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post