Uggah pesan kontraktor jangan diam diri,cari JKR jika ada masalah

Uggah semasa mengadakan lawatan ke tapak salah satu projek pembinaan jambatan tersebut.

KUCHING— Kontraktor yang menghadapi masalah semasa melaksanakan projek di negeri ini perlu berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mencari jalan penyelesaian, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, ini penting agar semua projek infrastruktur yang diluluskan dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual kerana ia memberi kesan buruk kepada rakyat dan kerajaan.

“Jika mereka gagal menyiapkan ia mengikut jadual, rakyat akan kecewa dan marah.Kami sebagai kerajaan pula dilabel sebagai pembohong,” katanya.


Uggah berkata demikian selepas lawatan ke tapak pembinaan dua projek iaitu Jambatan Batang Saribas 2 di Beladin dan Jambatan Sungai Paku di Spaoh yang dianggap projek sakit kerana mengalami kelewatan dalam jadual penyiapan masing-masing.

Memetik Utusan Borneo Online, Uggah merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, Jambatan Sungai Saribas 2 bernilai RM385 juta yang merentasi Kuala Saribas antara Maludam dan Pusa sepatutnya siap pada 4 Februari 2025.

Namun tarikh semakan semula untuk jambatan sepanjang 2.390 kilometer itu kini pada 27 Mac 2025.

Manakala, jadual penyiapan baharu Jambatan Sungai Paku pula jelasnya, ialah pada 21 Disember 2023 daripada tarikh asal 5 November 2023 yang mana jambatan gerbang keluli sepanjang 100 meter itu dengan jumlah kontrak berjumlah RM27 juta.

"Kedua-dua projek itu terjejas, antara lain disebabkan oleh kelewatan pengangkutan bahan binaan ke tapak dari China dan tempat lain akibat sekatan perjalanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, selain cuaca buruk," katanya.

Sehubungan itu, Uggah menggesa kontraktor untuk mewujudkan hubungan yang rapat dengan JKR untuk membincangkan sebarang isu yang dihadapi.

"Jabatan tersebut sedia membantu mencari penyelesaian supaya projek bermasalah anda dapat disiapkan seperti yang dijadualkan.

“Pada masa yang sama, laksanakan apa yang anda telah bersetuju untuk laksanakan,” katanya.

Uggah yang diiringi Setiausaha Tetap kementeriannya Datu Safri Zainuddin turut mengadakan pertemuan bersama kontraktor kedua-dua projek itu.

Dengan pertemuan yang diadakan antara mereka dan JKR itu disifatnya sebagai konstruktif dalam erti kata telah menemui jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

“Saya menghargai usaha JKR memainkan peranannya secara aktif untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Dengan cara ini, kita berharap pelan kerja yang telah dipersetujui semasa mesyuarat dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan,” ujarnya.
Next Post Previous Post