Tiada syarat dos lengkap vaksin untuk terima Bantuan Khas Aidilfitri

Gambar hiasan 

KUALA LUMPUR—Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 April lepas adalah untuk semua penjawat awam dan pesara yang layak, termasuk mereka yang tidak mendapat dos imunisasi COVID-19 lengkap.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pengumuman beliau sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi.

"Ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir." katanya dalam kenyataan hari ini. 

Susulan itu beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata perkara-perkara lain dalam pekeliling itu masih terpakai.

Pada 5 April lepas, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta bantuan khas RM250 kepada pesara kerajaan.

Perdana Menteri juga menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi COVID-19 demi kesejahteraan bersama meskipun ia tidak diwajibkan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post