Tiada kerja tetap, 6 penganggur masuk lokap angkara dadah
Keenam-enam suspek yang ditahan bersama rampasan dadah di Kampung Segong, Bau. |
BAU— Tidak mempunyai pekerjaan tetap, enam pemuda dari Kampung Segong mengambil dadah dan akibatnya kini meringkuk di lokap.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, kesemua penganggur berusia antara 19 hingga hingga 37 tahun itu ditangkap semasa Op Tapis di lokasi berbeza sekitar kampung tersebut.
"Kesemua suspek menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima. Siasatan awal mendapati kesemua lelaki berkenaan terlibat dengan salah guna dadah melebihi setahun dengan memberi alasan terlibat dengan pengaruh kawan dan juga secara ingin mencuba.
"Ketiadaan pekerjaan tetap salah satu faktor menyebabkan budaya lepak di sekitar Kampung Segong bercampur dengan kawan yang lain," katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, untuk membanteras aktiviti dadah.
Poge berkata, tangkapan pertama pihaknya menahan seorang lelaki yang sedang duduk di sofa di ruang tamu di sebuah rumah tepi jalan sekitar jam 8.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemui sepaket plastik berisi ketulan kristal putih. Ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah,” jelasnya.
Tangkapan kedua katanya, dua lelaki dipercayai penagih dadah ditahan ketika sedang berehat sebuah rumah sekitar jam 9.00 pagi .
“Kedua-dua suspek cuba berbohong tidak terlibat dalam aktiviti dadah sehingga ujian saringan awal mendapati kedua-duanya positif dadah.
“Selang 30 minit, polis turut menahan tiga lagi lelaki yang sedang leka berbual di hadapan sebuah rumah. Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka memiliki tiga paket plasti berisi ketulan kristal,” katanya.
Poge berkata, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.
Tegasnya, dua suspek disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Manakala empat lagi di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Poge menggesa ibu bapa dan penjaga harus memainkan peranan dalam usaha mengekang anak-anak muda terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.