Sosej daging babi dirampas positif ASF
Maqis Selangor merampas sosej daging babi seberat 10 kilogram di KLIA, Sepang pada 26 Mac lalu dan didapati positif ASF. Gambar kredit Sinar Harian |
Menurut MAQIS, sosej daging babi seberat 10 kilogram yang dianggarkan bernilai RM350 itu dirampas daripada lelaki warga China yang meletakkannya dalam bagasi tangan.
"Beberapa sampel telah diambil daripada sosej daging babi tersebut untuk diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar dan hasil ujian makmal mendapati sosej itu positif untuk pengesanan penyakit ASF," kata MAQIS dalam kenyataan hari ini.
Menurut MAQIS prosedur ujian tersebut dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan babi negara terjejas.
"Kesemua sosej yang dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawaian yang telah ditetapkan," katanya.
Malaysia mengenakan larangan membawa masuk produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit ASF termasuk penumpang di laluan udara yang membawa bagasi tangan bagi menghalang risiko kemasukan penyakit itu.
Menurut MAQIS penyakit ASF mudah merebak dan mampu menyebabkan kadar kematian yang sangat tinggi sehingga 100 peratus babi peliharaan yang boleh melumpuhkan industri ternakan babi dalam masa yang singkat.
-- BERNAMA