Salang mungkin bertanding di Julau jika direstui PRS, GPS


SIBU-- Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak jika diberi kepercayaan dan sokongan oleh parti dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Memetik laporan The Borneo Post Beliau yang pernah memenang kerusi itu selama empat penggal berkata, PRS mungkun mencalonkannya jika itu yang dimahukan parti bagi menawan kembali kerusi tersebut.

"Saya tidak boleh katakan saya akan bertanding di kerusi tersebut tetapi jika parti dan GPS fikir bahawa saya boleh bertanding, saya akan menilainya jika saya sesuai atau tidak.

"Seperti apa yang saya katakan, kita boleh merancang tetapi kita tidak tahu jika kita masih berada dalam kesihatan yang baik atau tidak atau mungkin berdepan dengan masalah lain semasa pilihan raya diadakan," katanya ketika ditemui media selepas majlis makan malam PRS bersempena Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) parti itu malam tadi.

Untuk rekod, Salang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Julau pada 2018 dalam pertembungan dua penjuru dengan calon Bebas, Larry Sng.

Sng yang kini Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berjaya meraih 10,105 undi manakala Salang mendapat 8,174 undi.

Mengenai perkara lain, Salang menggesa GPS dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyediakan lebih banyak kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan luar bandar.

"PRS seperti parti politik lain yang mempunyai kelainan tersendiri. PRS adalah parti majoriti Dayak dan permintaan kita kepada kerajaan negeri adalah berdasarkan asal usul kami (masyarakat Dayak).

"Apa yang menjadi perhatian kita adalah kehidupan masyarakat Dayak di pedalaman yang mana mereka ini masih berdepan dengan isu kekurangan infrastruktur," jelasnya.

Katanya, PRS akan cuba sedaya upaya untuk membuat kelainan seperti yang telah dilakukan sebelum ini demi kepentingan rakyat terutamanya masyarakat Dayak.

"Saya telah menegaskan perkara ini kepada ahli-ahli majlis tertinggi tentang apa yang harus diberi perhatian.

"Saya mahu mereka membantu saya untuk menjadikan PRS sebuah parti yang mesra dan berpaksikan rakyat," tegasnya.

Hadir sama Timbalan Presiden PRS Datuk Majang Renggi and Naib Presiden Kanan Datuk John Sikie Tayai.
Next Post Previous Post