Sagah: Parlimen Puncak Borneo adalah kerusi tradisi PBB, calon berpotensi ramai.
Roland Sagah |
Memetik laporan The Borneo Post Naib Presiden PBB, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, Parlimen Puncak Borneo adalah kerusi tradisi PBB.
"Tidak dinafikan Puncak Borneo adalah kerusi PBB," kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu.
Tambahnya, terdapat ramai daripada ahli PBB yang berkebolehan, berdedikasi dan berpendidikan tinggi di kawasan Serumbu, Mambong dan Tarat, yang merupakan dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo.
Tegas Sagah lagi, apa yang penting adalah kesetiaan pada parti selain disiplin yang menjadi tunjang kerana tanpanya mana-mana parti akan menjadi huru-hara.
"Kita harus tetap teguh berpegang kepada prinsip kita iaitu tidak membenarkan mana-mana parti luar Sarawak mewakili kita (GPS)," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Tarat menyeru pengundi Parlimen Puncak Borneo menunaikan tanggungjawab mereka untuk memberi kemenangan kepada PBB pada PRU15 kelak.
Pada Sabtu, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin daripada Parti Pribumi BERSATU Malaysia (Bersatu) mengatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi berkenaan dan sedia bekerjasama dengan GPS jika diberi peluang.
Beliau yang sebelum ini membantu dan menyokong calon GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) berharap diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi Puncak Borneo.
Mengenai perkara ini, Sagah berkata Willie seharusnya memberi sokongan penuh kepada siapa sahaja dinamakan sebagai calon di situ jika beliau tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan Puncak Borneo.
"Ya. Saya berharap beliau memberi sokongan penuh demi masyarakat Bidayuh," ujarnya.
Willie memenangi Puncak Borneo pada PRU14 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), memperoleh majoriti 4,005 undi menentang pencabar terdekatnya, Genot Sinel dari Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan tiga penjuru.
Bagaimanapun, Willie meninggalkan PKR semasa ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020, dan menyertai Bersatu tidak lama selepas itu.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada tahun yang sama.