Sabah keluarkan panduan kemasukan pengembara antarabangsa

Gambar hiasan

KOTA KINABALU—Kerajaan Sabah hari ini mengeluarkan panduan kemasukan ke negeri ini bagi pengembara antarabangsa sama ada melalui udara, darat mahupun laut, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM). 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata ini termasuk memberi pilihan kepada pengembara antarabangsa menjalani ujian pengesanan RTK-Antigen COVID-19 yang dikendalikan anggota kesihatan terlatih, sama ada semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negeri itu atau di luar PMA dalam tempoh 24 jam. 

Beliau berkata pengembara antarabangsa yang transit di PMA Malaysia di luar Sabah juga dibenarkan meneruskan perjalanan ke negeri itu dan diberi pilihan yang sama dalam menjalani ujian pengesanan.

"Pengembara antarabangsa transit melalui Singapura yang tiba di PMA Sabah juga diberi pilihan untuk menjalani ujian pengesanan RTK-Antigen COVID-19 yang dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih semasa ketibaan di PMA atau di luar PMA dalam tempoh 24 jam," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Sementara itu Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata 48 kes positif baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif wabak berkenaan di Sabah 370,539 kes.

"Statistik jangkitan rendah ini hasil keberkesanan vaksin yang diberi kepada hampir keseluruhan penduduk yang layak di Sabah. Tahap pematuhan SOP tinggi dalam kalangan rakyat negeri ini juga membantu mengurangkan jangkitan virus COVID-19 daripada terus merebak.

"Diharapkan disiplin tinggi ini terus diamalkan apatah lagi semasa merayakan sambutan Aidilfitri pada tahun ini," katanya. 

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post