Rubiah bawa 'sinar Ramadan' buat Sumarni yang terlantar akibat penyakit buah pinggang
Sumarni Kasim, 42 tahun, menghidapi penyakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu.
Rubiah semasa kunjungan mesra itu memberitahu, program ziarah tersebut merupakan siri lawatannya menerusi Jerayawara Ramadan P197 Kota Samarahan.
Jelasnya, ia bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik di kawasan Parlimen Kota Samarahan.
"Kita berharap program Jerayawara Ramadan ini dapat memberi sinar kegembiraan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik dan pada masa sama meringankan sedikit beban mereka," katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Dalam lawatan itu, Rubiah turut menyumbangkan katil pesakit menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung Jawa Semenggok untuk kegunaan mereka yang memerlukan termasuk Sumarni.
Selain itu, beliau turut menghulurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di kampung tersebut.
Sementara itu, Suami Sumarni, Misran Paiman menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Ahli Parlimen berkenaan.