Rogol anak sendiri, bekas tentera dipenjara 18 tahun dan 34 sebatan
Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 34 sebatan di Mahkamah Sesyen Sibu, di sini semalam selepas mengaku merogol anaknya. Gambar kredit Borneo Post |
Hakim Marutin Pagan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, 40, selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun di sebuah rumah panjang di Batu 14, Jalan Oya pada 11 Mac, 26 Mac dan 1 April lalu, kira-kira jam 3 pagi.
Memetik laporan The Borneo Post semalam, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Di bawah seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.
Justeru, bagi setiap pertuduhan, dia dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan.
Selain itu, tertuduh juga menghadapi empat pertuduhan melakukan serangan seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh disebat.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Mac lalu jam 3 pagi dan 10 pagi, 26 Mac lalu jam 3 pagi dan 1 April lalu jam 3 pagi di rumah panjang yang sama.
Oleh itu, dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Dalam menyampaikan penghakiman, Hakim Marutin memerintahkan supaya semua hukuman berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 April lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa memberitahu gurunya (pengadu) di sekolah bahawa dia telah dirogol bapanya di rumah mereka pada 12 April kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Berikutan itu, guru berkenaan membawa mangsa berjumpa guru kaunselor sekolah.
Mangsa juga memberitahu kaunselor sekolah bahawa dia pernah dirogol dan diserang secara seksual pada tarikh-tarikh yang diberikan.
Dalam rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan, selain berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.
Tertuduh juga berkata dia akan menjadi bapa dan suami yang baik kepada keluarganya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Rex Heng Yi Min memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh adalah seorang bekas tentera.
Beliau berkata, hukuman setimpal akan mencerminkan ketegasan undang-undang di Malaysia untuk menjaga kepentingan mangsa seksual bawah umur.
Tegasnya, pihak pendakwaan percaya tertuduh telah menanam semangat menjaga keselamatan masyarakat dan keluarganya sendiri yang perlu ada dalam dirinya.
"Ini adalah kes di mana tertuduh jelas mengambil kesempatan daripada kedudukan dominannya sebagai bapa kandung untuk melakukan serangan seksual dan rogol ke atas mangsa," katanya sambil menegaskan perbuatan itu jelas menunjukkan tertuduh menyalahgunakan kedudukannya.