Restoran tumpuan geng ‘plastik hitam diserbu’, dua 'ulat' diberi notis

Makanan yang sudah dibungkus dihantar oleh ‘ulat’ ke kereta di mana pembeli yang tidak berpuasa sedia menunggu. Gambar hiasan kredit unsplash

MELAKA—Padah tidak menghormati bulan Ramadan, sebuah restoran di Peringgit di sini diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) apabila dipercayai menjadi pusat geng ‘plastik hitam’ membeli makanan.

Dalam serbuan tengah hari tadi, antara yang menerima notis ialah dua pekerja restoran tersebut yang bertindak sebagai 'ulat' atau penghantar makanan kepada individu tidak berpuasa yang menunggu di dalam kereta atau motosikal.

Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat berkata Ops Plastik Hitam Menggelegak itu dilakukan hasil risikan pasukannya sejak hari pertama Ramadan lagi memandangkan restoran tersebut sememangnya terkenal sebagai lokasi tumpuan golongan culas berpuasa. 

"Untuk operasi hari ini sebanyak tujuh notis dikeluarkan ke atas pemilik dan pekerja restoran yang berusia antara 24 dan 63 tahun itu atas kesalahan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan mereka diperintahkan untuk hadir ke pejabat JAIM untuk memberi keterangan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati restoran tersebut memulakan perniagaan seawal 8 pagi dan mendakwa mereka menjual makanan kepada golongan bukan Muslim.
 
Jelas Che Sukri, premis itu, yang disifatkannya sebagai kawasan paling 'panas' di Melaka Tengah pada bulan Ramadan, sebelum ini pernah diberi amaran kerana mereka telah melakukan aktiviti tersebut sejak bertahun lamanya.

"Kali ini modus operandinya menggunakan 'ulat' dan mereka menerima tempahan melalui telefon. Jadi air dan makanan sudah siap dibungkus dan ulat ini akan terus ke kereta di mana pembeli sedia menunggu.

“Jadi pembeli tidak perlu ‘drop off’ atau singgah di kedai dan kaedah menggunakan ‘ulat’ ini lebih mudah dan lancar dalam menghantar makanan yang dibeli,” katanya. 

-- BERNAMA
Next Post Previous Post