Rekrut lebih ramai ahli PBB, gesa Uggah

Uggah melakukan upacara simbolik sempena perasmian Mesyuarat Perwakilan Tritahunan (TDM) PBB cawangan Bukit Begunan dan Engkilili di sini semalam.

SRI AMAN—Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah menggesa setiap ranting dan cawangan parti itu merekrut lebih ramai ahli baru di negeri ini.

Tegasnya, ini penting bagi meningkatkan kekuatan parti agar lebih utuh untuk terus kekal relevan dan mentadbir negeri ini. 


"Apabila PBB kukuh, ini akan memberi kelebihan untuk parti menumpukan usaha bagi menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

"Ini penting kerana Sarawak menyasarkan untuk menjadikan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang 2030 seperti mana yang diilhamkan Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tritahunan (TDM) PBB cawangan Bukit Begunan dan Engkilili di sini semalam.

Tambahnya, PBB akan gagal dalam menunaikan tanggungjawabnya jika gagal merekrut lebih ramai ahli baru.

"Apabila kita dapat mengembangkan keahlian, kita dapat kekal relevan dan kukuh.

"Ini akan menjadikan kita kekal sebagai tulang belakang kepada kerajaan negeri untuk tahun seterusnya," tegas Uggah.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, PBB boleh menarik lebih ramai ahli baharu kerana Presidennya merupakan Primer Sarawak sendiri.

Jelasnya lagi, ramai ahlinya juga merupakan pemimpin yang memegang jawatan menteri dalam kabinet negeri dan persekutuan.

Tambah beliau, ini akan membantu Aabng Johari untuk melakukan yang terbaik bagi melaksanakan lebih banyak projek pembangunan di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli PBB untuk terus kekal bersatu dalam mendepani cabaran yang makin sukar pada masa kini.

Ini katanya, berikutan perubahan teknologi digital yang berkembang dengan lebih pesat.

"Mereka yang tidak suka kepada kita akan menggunakan Internet untuk membuat hantaran fitnah tentang pemimpin, kerajaan dan PBB.

"Mereka akan terus menyebarkan fitnah dan penipuan untuk menjatuhkan kita. Tetapi jika kita kekal bersatu kita akan terus kukuh," ujarnya.

Pada majlis itu, Uggah turut mengucapkan tahniah kepada Senator Susan Chemerai Anding atas pelantikan beliau sebagai Ketua Cawangan Bukit Begunan dan Anthony Abell sebagai Ketua PBB Engkilili.
Next Post Previous Post