PTPTN seru peminjam rebut peluang diskaun hingga 15 peratus

Gambar kredit FB PTPTN

KUALA LUMPUR—Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diseru supaya merebut peluang insentif diskaun bayaran balik pinjaman yang berakhir hujung bulan ini (30 April).

PTPTN dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi tempoh 1 Nov 2021 hingga 28 Feb lepas, sebanyak 367,433 peminjam telah menikmati insentif diskaun bayaran balik dengan jumlah diskaun yang diberikan adalah sebanyak RM112.4 juta.

Melalui pembentangan Bajet 2022 pada 29 Okt tahun lepas, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan insentif diskaun bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam PTPTN dengan pemberian diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

Selain itu, pemberian diskaun 12 peratus untuk bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

“PTPTN berharap agar semua peminjam melaksanakan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik pinjaman mereka bagi memastikan PTPTN dapat meneruskan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.

Bayaran balik boleh dibuat secara dalam talian melalui perbankan internet, JomPAY, MyPAY, Shopee, Portal Rasmi PTPTN (FPX) dan terkini melalui aplikasi mobile app myPTPTN.

Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN menerusi saluran seperti careline PTPTN di 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat, setiap 9 pagi hingga 5 petang.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post